Bagi mereka yang mempunyai azam untuk mempelajari dan menghafaz Al-Quran, berpeganglah kepada janji-Nya:
وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?
Surah Al-Qamar, 54: 32
Pesanan tuk diriku yg baru bermula tuk menghafal kalimah-kalimahMU:
1. Betulkanlah niat. Andai sudah betul, jagalah niat itu. Jaga dan terus jaga. Hati manusia boleh berbolak balik dalam dua detik sahaja.
2. Jagalah adab. Adab dengan semua. Al-Quran terutamanya. Junjung dan tatang secara luaran dan dalaman. Adab dengan guru @ murabbi. Adab dengan Ibu dan ayah sendiri. Ambil berat persoalan adab. Jaga dan terus jaga.
3. Perhatikan masa dan usaha. Semua orang mempunyai 24 jam tapi tak semua orang ‘memiliki’ 24 jam. Tingkatkan usaha. Istiqamah dengan usaha ana sendiri.
4. Pelajari kaedah. Banyak tempat untuk dirujuk dan bertanya. Tanya pada yang alim , pada yang sudah berpengalaman. Terima dan praktikkan dengan penuh iltizam.
5 . Jangan hangat2 tahi ayam. Jangan sekerat jalan. Kembali kepada persoalan niat. Tekad seteguh2nya.
6. Jauhi maksiat zahir dan batin . Maksiat kecil sehinggalah maksiat besar. Duduk berseorangan pun boleh berlaku maksiat, apatah lagi ditengah kekalutan orang dan budaya. Perhatikan makna taqwa yang diumpamakan oleh seorang sahabat r.a : ” Laksana kamu berjalan di atas jalanan yang penuh dengan onak dan duri…”
7. Pegang Al-Quran sentiasa. Kucup dan junjung. Bawa dalam keadaan suci dan berwudhu’. Sayangi Al-Quran secara jujur tanpa sedikitpun unsur hipokrit. Sayangi yang zahir ( mushaf ) dan sayangi yang batin ( hafazan dan amalan ).
8. Syaitan akan ‘mendampingi’ anda sentiasa. Nafsu akan mengikut anda ke mana2. Suatu ketika anda mungkin akan di’peras ugut’ oleh keduanya. Iman seorang penghafaz Al-Quran juga adakala menaik dan merudum. Diibaratkan ; kalau baik , lebih baik dari Malaikat. Kalau jahat, lebih jahat dari Iblis. Itulah huffaz.
9. Maka selalulah bermohon kepada Allah. Minta dengan Allah. Jangan tinggal solat hajat. Permintaan supaya dipermudahkan hafazan dan di’benar’kan khatam hafazan Al-Quran jangan ditinggalkan. Itu antara doa wajib bagi anda sampai anda mati.
10. Jangan tinggal hubungan hati dengan Allah walaupun sedetik. Sedetik itu sangat bermanfaat bagi Syaitan untuk mengambil ruang dan kesempatan.
Apa yang perlu diketahui dan diingati oleh seorang huffaz?
1. Al-Quran yang dihafaz adalah amanah. Anda sendiri yang ‘mencari pasal’ untuk mengambil amanah tersebut. Bagaimanapun, anda ‘mencari pasal’ yang baik. Jadi janganlah suatu masa nanti anda bukan sahaja melupakan hafazan anda , bahkan tidak mahu mengaku anda seorang huffaz!
2. Bila anda faham bahawa anda yang ‘mencari pasal’ , jadi anda kena SMI ( Sendiri Mau Ingat ) tentang hafazan anda.
3. Dalam proses anda hafaz Al-Quran, anda akan diuji.
4. Anda akan semakin diuji..
5. Anda akan terus diuji..
6. Dan anda akan semakin kuat diuji..
7. Ujian yang datang kepada anda ada tahapnya. Syaitan yang berdiri di hadapan anda diibaratkan berpangkat Jeneral , bukan prebet. Semakin anda lawan , semakin anda rajin , semakin anda masyi, semakin anda istiqamah, Maka semakin tinggilah bintang di bahu Syaitan yang dihantar kepada anda.
8. Anda akan rebah. Ada ketikanya anda akan diuji teruk . Samada kematian , masalah hati , duit ataupun pangkat dan kedudukan. Anda mungkin tumpas dengan salah satu , yang boleh memberi kesan besar kepada tahap motivasi dan tekad anda untuk meneruskan hafazan.
9. Kalau anda jatuh, anda rebah , jangan menangis. Jangan ‘laknat’ diri anda kerana anda rebah. Adakala memang anda perlu rebah supaya anda tahu apakah itu ‘sakit’. Jangan sedih andai tika anda ‘rebah’ tiada yang membantu, apatah lagi ‘merawat’. Anda kan punya Al-Quran. Peluklah Al-Quran . Hayatilah dengan lantunan suara anda sendiri. Bagi ana, itulah teman yang paling setia..
10. Anda bukan penghafaz Al-Quran sejati kalau anda tidak pernah menangis kerana Al-Quran ( hafazan ) anda.
11. Anda perlu ingat formula ini sampai bila2. Ingat dan faham betul2. Dalam menghafaz Al-Quran anda cuma ada dua keadaan yang diberikan oleh Allah. Diulangi : diberikan oleh Allah. Pertama anda berada dalam keadaan senang hafaz dan mudah ingat. Kedua , anda berada dalam keadaan sebaliknya iaitu susah hafaz dan sukar ingat.
Apa yang perlu anda faham dan tanam dalam hati? Ini penting. Fahami bahawa sebenarnya kedua2nya adalah UJIAN.
12. Justeru, JANGAN menangis dan menyalahkan diri anda andainya anda tidak ingat Al-Quran. TETAPI sila menangis dan salahkan diri anda kiranya anda malas , tiada istiqamah dan tidak konsisten dengan hafazan anda . Pesan Allah ta’ala dalam surah Al-Qiyamah : ” Sesungguhnya Kami lah yang menghimpunkan Al-Quran itu dalam dada2 manusia..”
13. Terakhir, sentiasa ingat bahawa Al-Quran akan memberi syafaat kepada kita dan memberi kemuliaan kepada kedua ibubapa kita pada hari Qiamah. TETAPI Al-Quran juga boleh menjadi hujjah ke atas kita pada masa tersebut. Inilah peringatan paling ‘keras’ buat kita semua para huffaz Al-Quran
” Allahummaj’alhu Hujjatal lana Wala Taj’alhu Hujjatan ‘Alaina Ya Rabbal ‘Alamin..”
Dalam satu hadis meriwayatkan:
“ Barangsiapa yang menghafaz Al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya, maka Allah akan memakaikan kepada kedua orang tuanya pada hari kiamat, suatu mahkota yang mana kilauannya lebih cerah berbanding cahaya matahari ”.
Berusaha sekadar yang termampu buat diri masing- masing. Jika kita seorang pelajar, jika kita seorang pekerja, jika kita seorang ibubapa, jika siapa pun kita, luangkanlah sedikit daripada masa kita untuk menghafal al-Quran dan menghayati kandungannya. Selamat berusaha.
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang menghafaz Al-Quran dan mengajarkannya” Riwayat Bukhari