HAMBA APAKAH AKU?
Dunia internet. Facebook. Twitter. Blog. Agaknya ada lagi yang lebih penting daripada Allah?
Kita ini hamba. Hamba kepada Tuan yang sangat besar kuasa-Nya. Sangat tinggi kasih sayang-Nya. Dengan hanya sedikit limpahan rahmat-Nya dimasukkan ke dalam dada semua hamba-Nya. Kita mampu pula berkasih sayang sesama kita.
Mampu menghubungi antara satu sama lain dengan nikmat internet yang diberi Allah.
Dia yang mencipta kita. Untuk apa?
Semata-mata hanya untuk beribadat kepada Allah. Alah mencipta dunia dan segenap perhiasannya untuk dijadikan medan tarbiyyah buat kita. Ibarat mencipta akhirat untuk tempat penghisaban amalan dan mencipta pula neraka dan syurga sebagai tempat balasan kita. Ia tempat yang kekal abadi. Yang tidak ada kematian lagi. Ia tempat terakhir perjalanan roh.
Berfacebook, berchatting dan bermain game adakah suatu ibadat untuk kita persembahkan kepada Allah? Adakah dengan komponen-komponen di dalam aktiviti ini mampu menjadi batu asas binaan mahligai di syurga kelak?
Oh! Di mana nilai kita sebagai seorang hamba di mata Allah? Tidakkah kita risau?
Seorang hamba itu hidupnya tidak dihiasi dengan bermaksiat. Hatta “bermaksiat” dengan waktu. Hatinya seringkali diservis untuk perjalanan yang jauh menuju ke padang mahsyar. Dia telah bersiap siaga dengan bekalan amalan di dunia.
Tidak ada perintah yang lebih dijunjung oleh seorang hamba Allah itu melainkan perintah Allah.
Dia merdeka daripada keterikatan kepada makhluk, hawa nafsu dan kebendaan. Kebergantungannya hanya kepada Allah yang semakin hari semakin kuat, sehingga ia mampu hidup berdikari dan tidak mengharap ihsan orang lain.
Cukuplah Allah sebagai penghibur hatinya. Bukan internet. Bukan game. Bukan Facebook. Bukan movie Korea. Bukan chatting.
Itulah nilai seorang hamba Allah. Makin hari makin sayang dengan Allah. Makin hari makin tenang dalam dakapan kasih sayang Allah.
Seperti dalam firman Allah SWT dalam surah as-syams, manusia itu dikurniakan dua pilihan jalan, jalan KETAQWAAN dan jalan kefasikan. Beruntunglah yang memilih jalan ketaqwaan dan merugilah yang memilih jalan kefasikan.